Jika ada rezeki, cubalah ke Montana, negeri koboi di utara Amerika Syarikat, melihat beruang grizzly dan kumpulan kuda bebas berlari.
Pasti juga terserempak gerombolan bison jika ke Taman Negara Yellowstone.
TIBA saja di kawasan peranginan Big Sky Resort, kira-kira satu jam perjalanan dari Lapangan Terbang Gallatin di Bozeman, Montana, rasa risau mula menyelubungi, bimbang peristiwa di Tehran kira-kira tiga tahun lalu, berulang lagi.
Apa tidaknya, di ibu negara Iran itu, penulis terlantar dua hari dek penangan demam selesema teruk. Ketika itu, salji di Tehran tidaklah begitu tebal, tetapi kerana saban hari bersulam suhu panas dalam kenderaan serta cuaca sejuk bersalji di sesetengah kawasan, suhu dalam badan pun jadi tak keruan.
Di pusat peranginan terkenal di Montana, cuaca lebih kurang sama. Musim sejuknya sudah semakin ke penghujung, namun salji masih ada dan turun sekali sekala. Big Sky Resort popular sebagai lokasi luncur salji di negara Uncle Sam ini, hotel serta rumah penginapan selalunya penuh dengan penggemar ski.
Di belakang hotel, kelihatan stesen `chairlift´ untuk membawa pengunjung naik ke puncak gunung bermain ski, namun nasib tidak menyebelahi kerana baru saja berkira-kira untuk ke puncak itu pada satu pagi, salji pula turun kembali.
Jika tidak merancang aktiviti, memang rasa bosan menyelubungi. Masa senggang banyak dihabiskan di hotel, aktiviti pagi hingga petang diisi tugasan hakiki, membuat liputan satu persidangan yang berlangsung di sini. Kesempatan yang sekali sekala menjengah digunakan ke Bozeman, bandar tipikal Amerika dengan bar, hotel bajet serta kedai kecil dan comel.
Montana negeri keempat terbesar di Amerika selepas Alaska, Texas dan California. Muka buminya bergunung-ganang dan tanah tinggi paling terkenal adalah Gunung Rocky. Sebab itu, negeri ini dinamakan Montana diambil daripada perkataan Sepanyol bermaksud `mountain´ atau gunung. Dari segi populasi, hanya ada sekitar sejuta penduduk di sini.
Untuk mencari orang Amerika sejati, Montana antara tempatnya, juga terkenal dengan lembunya hingga jumlah ternakan itu dikatakan melebihi populasi penduduk. Kerana industri itu juga, stik di sini dikatakan antara paling enak tetapi sudah tentu penulis tidak boleh menjamah kerana sudah ia bukan hidangan halal.
Di sini, sukar berjumpa bangsa lain kecuali beberapa warga Filipina dan Amerika Selatan yang bekerja di pusat peranginan. Imej negeri koboi diterjemahkan pekerja hotel yang berpakaian seperti gembala berkuda dengan but, denim dan topi koboi mereka.
Imej itu kian terserlah apabila singgah di pekan Yellowstone. Nama pekan itu saja seperti biasa kita dengar dalam filem `country´. Mereka yang mahu ke Taman Negara Yellowstone dari arah Bozeman perlu melalui pekan ini dengan perjalanan dari Big Sky Resort mengambil masa kira-kira sejam setengah.
Masuk saja ke kawasan taman negara, sudah terserlah tarikannya. Ada sungai di sepanjang jalan, gunung-ganang dan haiwan liar. Kawasan ini taman negara pertama di dunia, diwartakan pada 1 Mac 1872 apabila Presiden Amerika, Ulysses S Grant menandatangani undang-undang pewartaan.
Disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO, sebahagian besar taman seluas 8,980 kilometer persegi ini terletak di Wyoming, berlokasi di Dataran Tinggi Yellowstone. Tiga ngarai paling dalam juga ada di sini, paling terkenal Grand Canyon Yellowstone, namun kekangan masa menghalang penulis ke sana.
Nasib terus tidak menyebelahi apabila tidak seekor pun beruang ´grizzly´ menampakkan diri walaupun seorang kenalan yang ke taman ini sehari sebelum kunjungan kami, memaklumkan dia bertuah dapat melihat haiwan berkenaan. Helang botak juga bersembunyi. Hanya ada bison, elk dan tupai kecil comel. Sekali sekala perjalanan kami terhalang dek gerombolan bison yang memenuhi laluan.
Paling menarik di sini adalah geyser atau pancutan air panas. Geyser adalah lubang di permukaan bumi yang pada waktu tertentu secara berkala menyemburkan air panas dan wap, menjadi satu fenomena amat menakjubkan. Penulis berpeluang menyaksikan keajaiban alam ini di Old Faithful, geyser paling terkenal.
Pancutan berlaku setiap 60 hingga 90 minit dan mengeluarkan beribu-ribu gelen air panas mendidih mencecah ketinggian 30 hingga 60 meter. Di sini juga ada kolam air panas yang terhasil akibat air bawah tanah yang dipanaskan secara geoterma dan mengalir keluar dari kerak bumi.
Selepas tiga jam, Taman Negara Yellowstone kami tinggalkan tetapi sempat membeli cenderahati di Old Faithful. Hanya magnet peti sejuk sebesar ibu jari, namun harganya agak mahal jika dibandingkan produk sama di negara kita. Biarlah mahal terpaksa juga beli kerana jika tidak, bila lagi mahu ke sini.